Ahlan Wa Sahlan......Selamat Datang!!!!!!




S
elamat datang dan terima kasih kerana mengunjungi laman web kami yang terkini. Maklumat yang terdapat didalam laman web ini hanya akan berkisar pada keadaan semasa.

Semua grafik, artikel serta file video atau audio yang terdapat dalam laman ini adalah tertakluk dibawah hak Amiroel®. Sila email kepada webmaster jika anda berkehendakkan sesuatu dari laman web ini.

Jika anda ingin mempunyai bahan atau file yang sama dari laman ini, sila download file tersebut untuk kegunaan semula di laman anda.

Webmaster.

Sunday, July 24, 2005

"KEAGUNGAN JUMAAT SEBAGAI SAIYIDUL AYYAM "

Marilah kita bertaqwa kepada Allah Swt dengan sebenar-benar taqwa. Marilah kita muhasabah diri kita serta melihat kembali sejauh manakah kita telah melaksanakan perintah Allah Swt dan meninggalkan laranganNya. Berbahagialah insan yang memenuhi hidupnya dengan amal-amal kebaikan, kerana ia telah berjaya meletakkan dirinya di tempat yang terpuji di sisi Allah Swt, sebaliknya kehinaanlah kepada manusia yang meracuni hidupnya dengan dosa dan maksiat, kerana dia telah meletakkan dirinya di tempat yang hina di sisi Allah Swt.
Sidang Jumaat sekalian!,
Hari Jumaat adalah hari yang sungguh mulia dan bermakna bagi umat Islam. Kemuliaan itu digambarkan oleh Rasulullah Saw melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang berbunyi :
Bermaksud : "Sebaik-baik hari yang terbitlah matahari padanya ialah hari Jumaat. Pada hari tersebut Nabi Adam A.s dicipta dan dimasukkan ke dalam Syurga dan pada hari tersebut jugalah ia dikeluarkan dan tidak akan berlakunya Kiamat melainkan pada hari Jumaat."
Sabda Rasulullah Saw lagi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:
Bermaksud : "Penghulu segala hari ialah hari Jumaat, ia sangat besar ertinya di sisi Allah Swt daripada Aidilfitri dan Aidiladha."
Demikianlah kemuliaan hari Jumaat. Adapun kemuncak kepada kemuliaan hari Jumaat ialah perhimpunan raksasa di masjid-masjid bagi mendirikan solat fardhu Jumaat secara berjemaah. Menghadiri solat Jumaat terlalu penting bagi setiap Muslim sehingga Rasulullah Saw memberi ancaman keras terhadap orang yang meninggalkannya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian!,
Menghadiri solat fardhu Jumaat ertinya kita menuju ke masjid bagi menyahut seruan Allah Swt yang meminta kita untuk sujud kepadaNya. Firman Allah Swt :
(Al-Jumu'ah:9)
Bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman!, apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenar)."
Oleh kerana menghadiri solat Jumaat merupakan tanda kepatuhan kita terhadap Allah Swt, maka ia hendaklah dilakukan dengan baik dan bersungguh-sungguh, supaya terserlah kepatuhan kita disamping mendidik keperibadian kita. Bagi memastikan kehadiran kita ke masjid beramai-ramai dapat memenuhi objektif sebenar, maka Rasulullah Saw telah menunjukkan kepada kita amalan-amalan yang perlu dilakukan sebelum pergi ke masjid, semasa solat Jumaat didirikan dan selepas Solat Jumaat didirikan.
Amalan sebelum Solat Jumaat :
1- Memperbanyakkan Selawat pada malam dan hari Jumaat.
Sabda Rasulullah Saw :
Bermaksud : "Perbanyakkanlah berselawat kepadaku pada malam dan hari Jumaat."
2. Membaca surah Al-Kahfi.
Sabda Rasulullah Saw :
Maksudnya : "Barangsiapa yang membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya Allah akan menerangi cahaya yang akan menerangi dirinya antara dua Jumaat."
3. Mandi Sunat Jumaat dan datang awal ke Masjid.
Sabda Rasulullah Saw :
Bermaksud : "Barangsiapa yang mandi (sunat) pada hari Jumaat, kemudian pergi ke masjid pada waktu yang pertama, maka seolah-olah ia telah berkorban seekor unta. Barangsiapa yang pergi pada waktu yang kedua, maka seolah-olah ia telah mengorbankan seekor kerbau. Barangsiapa yang pergi pada waktu yang ketiga, maka seolah-olah ia telah mengorbankan seekor kambing. Barangsiapa yang pergi pada waktu yang ke empat, maka seolah-olah ia hanya mengorbankan seekor ayam betina. Barangsiapa yang pergi pada waktu kelima, maka seolah-olah ia mengorbankan sebutir telur."
(Hadis riwayat Imam Bukhari)
4. Berwuduk dengan sempurna dan kemudian melakukan ibadat.
Seperti membaca Al-Quran dan sembahyang sunat tahyatul masjid, terutamanya apabila masuk ke dalam masjid. Sabda Rasulullah Saw :
(Hadis riwayat Imam Muslim)
Bermaksud : "Barangsiapa yang berwuduk dengan sempurna kemudian ia pergi ke masjid menunaikan solat Jumaat dalam keadaan diam dan memberi perhatian sepenuhnya terhadap khutbah yang disampaikan, maka diampunkan dosanya pada hari tersebut dan antara Jumaat yang akan datang."
Amat dukacita sekali, apabila menghadiri solat Jumaat, ramai di kalangan kita yang datang ke amsjid semasa Khatib sedang membaca khutbah. Perbuatan ini amat merugikan, kerana khutbah adalah merupakan rukun wajib yang menjadikan syarat sahnya Jumaat.
5. Mendapatkan saf pertama yang berdekatan dengan Imam.
Sabda Rasulullah Saw bermaksud :
"Barangsiapa yang mandi sunat pada hari Jumaat dan bersegera berjalan menuju ke masjid, kemudian mengambil tempat berhampiran dengan Imam serta mendengar khutbah dengan penuh perhatian, maka setiap langkahnya akan memperolehi pahala menyamai ibadat puasa dan solat pada malamnya selama setahun."
Oleh itu, marilah kita mencari kelebihan kurniaan Allah Swt pada hari Jumaat yang mulia ini. Hendaklah kita segera datang ke masjid dan mengikut adab-adab yang disenaraikan oleh Rasulullah Saw kerana kelebihan dan fadhilatnya terlalu besar.
Amalan semasa Solat Jumaat :
- Mendengar khutbah dan memberikan perhatian sepenuhnya.
Sabda Rasulullah Saw :
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
Bermaksud : "Barangsiapa yang berkata-kata kepada temannya dengan berkata ish... sewaktu Imam sedang berkhutbah, maka sia-sialah pahala Jumaatnya, barangsiapa yang sia-sia, maka tiadalah baginya Jumaat."
Amalan selepas menunaikan Solat Jumaat :
-Berwirid, berdoa dan solat sunat ba'diyah.
Sabda Rasulullah Saw :
Bermaksud : "Sesungguhnya pada hari Jumaat ada satu detik yang tidaklah seseorang itu sembahyang, kemudian ia berdoa kepada Allah melainkan Allah akan memperkenankan doanya itu."
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian!,
Demikianlah saranan dan tunjuk ajar yang telah diberikan oleh Rasulullah Saw kepada kita untuk mengindahkan hari Jumaat yang hadirnya cuma sekali dalam seminggu. Marilah kita hiasi hari Jumaat itu dengan mengikuti saranan Rasulullah Saw. Hindarkanlah sikap suka berbual-bual dan tidur ketika Imam sedang berkhutbah atau duduk di tempat-tempat yang jauh sehingga tidak dapat mendengar khutbah.
(Al-Jumu'ah:10)
24.6.2005

No comments: