Ahlan Wa Sahlan......Selamat Datang!!!!!!




S
elamat datang dan terima kasih kerana mengunjungi laman web kami yang terkini. Maklumat yang terdapat didalam laman web ini hanya akan berkisar pada keadaan semasa.

Semua grafik, artikel serta file video atau audio yang terdapat dalam laman ini adalah tertakluk dibawah hak Amiroel®. Sila email kepada webmaster jika anda berkehendakkan sesuatu dari laman web ini.

Jika anda ingin mempunyai bahan atau file yang sama dari laman ini, sila download file tersebut untuk kegunaan semula di laman anda.

Webmaster.

Sunday, July 24, 2005

Dunia Mawi (Harian Metro)


TIDAK pernah terlintas di fikiran anak muda ini satu hari nanti dia akan bergelar bintang. Jangankan bermimpi, menyebutnya pun jauh sekali kerana sejak kecil dia diharap dapat menyambung kerjaya orang tuanya sebagai guru agama.Anak jati Kulai, Johor ini tidak menghampakan harapan ayah bonda tercinta apabila diberi kepercayaan menjawat jawatan ustaz di Sekolah Agama Kulai selama dua tahun.

Dia juga disegani masyarakat setempat kerana memiliki suara lunak, khususnya ketika mengalunkan bacaan al-Quran, sehingga melayakkannya meraih gelaran juara Tilawah al-Quran.Siapa sangka, tatkala usia hampir mencecah 24 tahun, Asmawi Ani atau lebih mesra dengan panggilan Mawi mencetus satu fenomena baru dalam industri seni negara.Dia terkenal dalam sekelip mata sejurus selepas menyertai program TV realiti paling berpengaruh, Akademi Fantasia 3 (AF3).

Keberaniannya mendendangkan lagu Intifada ketika konsert Prelude yang disokong dengan keperibadiannya yang naif dan lurus berjaya menambat hati penonton, sekali gus membawa tuah kepadanya. Namanya terus meniti di bibir pelbagai golongan masyarakat tanpa mengira usia, darjat ataupun pangkat.Lebih membanggakan, dia mendapat perhatian barisan pemimpin negara sehingga namanya disebut-sebut di Perhimpunan Agung Umno yang berakhir semalam.Ledakan mania Mawi cukup indah.

Meskipun menjadi tunangan gadis yang dikenali sebagai Nordiana atau lebih mesra dengan panggilan Ina di kalangan keluarga Mawi, populariti anak teruna pasangan Ani Ahmad, 65, dan Ramlah Sarlan, 58, ini sedikitpun tidak terjejas.Dia terus menjadi pilihan utama peminat, malah lebih membanggakan jumlah undian diterima meningkat dari semasa ke semasa.Kritiklah apa saja, Mawi yang popular slogan ‘world’ tetap unggul di mata peminat setianya. Mungkin itulah yang dikatakan pesona ‘Tsumawi’, pesona yang jarang kita temui dalam diri mana-mana artis sedia ada.Hakikat itu disokong Penasihat Pelajar dan Guru Bahasa Inggeris AF, Fatimah Abu Bakar yang menganggap Mawi sebagai ‘satu dalam seribu’.

Selaku insan terawal mengesan bakat Mawi, Fatimah bangga kerana ‘bintang’ pilihannya menjadi kegilaan ramai.“Saya dan komposer Iman Wan bertanggungjawab menguji bakat peserta AF di Johor. Dalam ramai-ramai, kami terpikat dengan Mawi kerana dia memiliki vokal dan personaliti unik.“Di mata saya Mawi jejaka yang naif, pemalu dan cekal hati. Dia dianugerahkan pesona yang boleh membuatkan orang suka dan sayang padanya. Jarang kita temui bintang yang ada daya tarikan sekuat Mawi.“Kanak-kanak, remaja malah orang tua pun suka dengannya. Lagu dendangannya pasti menjadi siulan ramai, buktinya Gadis Melayu nyanyian Jamal Abdillah kembali popular selepas Mawi mendendangkan lagu itu dalam konsert keempat.

Secara peribadi, saya tidak terkejut dengan sambutan yang diberikan orang ramai terhadap Mawi kerana dia memang layak untuk itu,” kata Fatimah ketika dihubungi baru-baru ini.Pada masa sama, Fatimah tidak ketinggalan melahirkan rasa kesal dengan senario kutuk mengutuk yang berlaku di kalangan penyokong AF sejak kebelakangan ini.Baginya, budaya tidak sihat itu tidak seharusnya wujud kerana ia pasti mencetuskan impak negatif terhadap program bercorak kekeluargaan itu.“Setiap minggu undian Mawi mendahului pelajar lain. Jika kedudukannya konsisten hingga minggu terakhir, tidak mustahil trofi juara AF3 menjadi miliknya.“Saya tahu ramai penyokong pelajar lain tidak senang dengan situasi ini sehingga berlaku perang mulut dan adegan kutuk mengutuk di saluran 15 Astro serta internet.

Yang menjadi mangsa adalah pelajar, sedangkan mereka tidak bersalah.“Dan, seandainya Mawi menang, jangan kutuk dia kerana kejayaan itu atas pilihan peminat. Siapa pun yang menang, terimalah keputusan itu dengan hati terbuka,” kata Fatimah yang terkenal dengan sikap keibuan dan menjadi tempat pelajar mengadu.Sementara itu, guru Teknik Vokal AF3, Siti Hajar Ismail, berpendapat Mawi harus berusaha lebih gigih untuk menguasai ilmu yang diperturunkan di akademi kerana dia belum menunjukkan perkembangan yang boleh dibanggakan.“Sepanjang tempoh lapan minggu di akademi, Mawi tidak menunjukkan perubahan sepertimana diharapkan. Daripada pemerhatian saya, dia belum boleh menerima sepenuhnya apa yang disampaikan tenaga pengajar.

Justeru, dia memerlukan lebih banyak pendedahan jika ingin pergi jauh dalam bidang ini.Suara“Memang tidak dinafikan suara Mawi sedap didengar, tetapi dia tidak tahu mengeluarkan suaranya dengan cara betul. Pengeluaran suaranya banyak terpengaruh dengan cara dia bertutur, di mana suaranya tidak ada sokongan di tekak.“Dengan membetulkan cara pertuturannya, baru dia dapat melontarkan suaranya dengan baik ketika menyanyi,” katanya yang mengagumi semangat kental Mawi.Sama seperti Fatimah, guru teknik vokal profesional ini juga tidak terkejut dengan fenomena ‘Tsumawi’ kerana sedari awal dia sedar anak didiknya memiliki daya tarikan cukup unik.“Saya berharap peminat menyokong Mawi kerana bakat dan bukan atas dasar simpati.

Jangan sesekali mengundi kerana latar belakang atau kerap dimarahi guru kerana sokongan emosi akan membuatkan Mawi lega dan kurang berusaha. Saya bimbang dia akan jadi bintang yang panasnya hanya bersifat sementara. Beri Mawi dorongan untuk lebih berusaha jika kita mahu dia menjadi bintang berkualiti,” katanya.Biarpun apa dilalui Mawi kini jauh tersasar daripada harapan asal orang tuanya, pilihan itu mendapat restu, malah ahli keluarga jejaka kegilaan ramai ini sanggup berulang-alik dari Kulai ke Kuala Lumpur setiap minggu sebagai tanda sokongan.Menurut Ani, Mawi menunjukkan kecenderungan menyanyi sejak kecil, tetapi mereka tidak pernah menyangka minat itu mengubah perjalanan hidupnya.“Saya reda jika sudah tertulis rezeki Mawi di bidang ini. Kalau ikutkan hati, memang saya ingin dia meneruskan kerjaya sebagai ustaz, tetapi saya tidak boleh terlalu berkeras kerana dia berhak memilih jalan hidup sendiri. Saya merestui pilihan Mawi.“Saya sangat berbesar hati apabila Mawi mendapat sokongan ramai. Saya anggap ia rezeki Mawi.

Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada mereka yang menyokong Mawi selama ini,” katanya penuh rendah diri.Memang tidak dinafikan, populariti diraih Mawi sedikit sebanyak pasti tercalit di bahu keluarganya. Pun begitu, bagi Ani, kehangatan populariti itu sedikit pun tidak mengubah rutin atau cara hidup keluarganya.“Kami tetap seperti dulu. Cuma sejak kebelakangan ini ramai bertegur sapa dengan kami. Ada antara mereka sebelum ini tidak sudi memandang kami, tetapi kini boleh bertepuk tampar. Biasalah, semua itu saya anggap asam garam kehidupan,” katanya yang gembira dengan perkembangan positif terhadap Mawi.

Source: Harian Metro
Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN

No comments: